Monday, 13 May 2013


Penilaian pengajaran guru dalam subjek seni
Sek. Keb. Bangsar

STRATEGI PEMBELAJARAN

i.            Sebelum Kelas
Strategi pengajaran dalam subjek seni memerlukan perancangan awal sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas. Menurut guru yang terlibat dalam penilaian pengajaran seni, didapati rangkaan awal dibuat sebelum hari untuk memulakan kelas iaitu mengarahkan semua pelajar yang terlibat dalam sesuatu kelas tersebut supaya membawa peralatan dan kelengkapan yang akan digunakan sepanjang pengajaran tersebut berlaku.
ii.            Semasa kelas
Guru memulakan kelas dengan perbualan kosong dengan pelajar agar pelajar dapat menenangkan diri sebelum memulakan proses pembelajaran. Seterusnya guru tersebut mula menerangkan tentang tugasan yang perlu dilakukan oleh pelajar dengan mempunyai kaitan dengan peralatan dan bahan - bahan yang dibawa oleh pelajar. Penerangan tersebut mesti jelas dan difahami oleh semua pelajar sebelum memulakan kelas supaya tidak menimbulkan gangguan kerja pelajar sepanjang gerak  kerja yang dilakukan oleh pelajar.
Semasa gerak kerja dijalankan, guru turut memasukkan contoh seni lain selain seni yang diajar di dalam kelas tersebut. Sebagai contoh, seni bunyi & seni suara dijadikan contoh semasa mengajar tentang warna dan ton warna. Strategi ini bertujuan membuka minda pelajar lebih luas dan tidak terhad dengan pembelajaran yang dijalankan pada masa tersebut sahaja. Contohnya, guru mengeluarkan bunyi seperti bersiul bagi menarik perhatian pelajar.
Selain itu, guru juga mementingkan pergerakan sepanjang menjalankan pengajaran di dalam kelas. Strategi ini bertujuan untuk menarik minat pelajar supaya tidak menimbulkan rasa bosan sepanjang kelas berjalan. Pergerakan guru juga dapat menimbulkan suasana bilik darjah yang ceria menyebabkan mampu menarik minat pelajar untuk mengikuti skop pembelajaran yang dijalankan.
Pertanyaan berkala juga turut dijalankan oleh guru tersebut tentang perkara yang diajar dan tidak semestinya menunggu pelajar bertanya. Hal ini kerana kadang – kadang sesetengah pelajar mempunyai perasaan malu untuk bertanya tentang apa yang tidak difahami.

iii.            Selepas kelas
Guru bertanya kepada pelajar secara keseluruhan tentang kefahaman pelajar terhadap pengajaran yang dijalankan dan menjelaskan secara keseluruhan pengajaran yang dijalankan. Bagi menguji kefahaman tersebut guru memberi beberapa soalan berkaitan dengan kandungan pembelajaran tersebut dengan menawarkan habuan seperti belanja makan pelajar yang dapat menjawab soalan tersebut. Hal ini juga penting bagi melatih pelajar berfikir. Guru juga memberi pujian terhadap hasil kerja pelajar bertujuan untuk memberi semangat kepada pelajar supaya minat untuk mengikuti kelas – kelas yang akan datang.
Mengikut penilaian yang dibuat, guru juga menjelaskan tahap pengajaran yang dijalankan iaitu tahap pembelajaran tingkatan 1 dimasukkan dalam sukatan pembelajaran tahun 5 yang bertujuan menaikkan taraf pembelajaran seni dalam kalangan pelajar.

ANALISIS STRATEGI PEMBELAJARAN
            Mengikut penilaian yang dibuat terhadap strategi pembelajaran yang dibuat oleh guru tersebut adalah berkesan. Hal ini dapat dilihat apabila melihat keadaan pelajar yang mempunyai minat yang tinggi sepanjang proses pengajaran yang dijalankan. Pelajar turut menggunakan masa sepenuhnya dalam melakukan tugasan iaitu mengkaji warna dan ton warna mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh guru tersebut. Walaupun terdapat juga keadaan kelas yang bising seketika, namun masih tidak terpesong dari pembelajaran. Dalam pengajaran seni, suasana yang ceria amat diperlukan dan tidak seperti pembelajaran lain yang berkaitan dengan teori sahaja dan memerlukan perhatian dari pelajar sepenuhnya.

KAEDAH PEMBELAJARAN
                Dalam pengajaran seni yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bangsar, guru menggunakan dua kaedah pembelajaran  utama iaitu kaedah simulasi dan kaedah praktikal. Dalam kaedah simulasi iaitu di mana kaedah ini melibat tunjuk cara daripada guru dalam melaksanakan tugasan yang berkaitan dengan seni. Melalui penilaian yang dibuat, guru memulakan terlebih dahulu perkara yang perlu dibuat oleh pelajar iaitu mengkaji warna dan ton warna.
                Manakala dalam kaedah kedua iaitu kaedah praktikal, guru mengarahkan pelajar sendiri melakukan gerak kerja seni dengan menggunakan contoh ton warna sebagai panduan pelajar. Dalam kaedah ini. Guru hanya bertindak sebagai pemudah cara dan menjadi panduan kepada pelajar sepanjang menjalankan tugasan tersebut. Namun demikian, penerangan terperinci turut diadakan oleh guru bagi memberi kefahaman yang sepenuhnya kepada pelajar. Kaedah ini juga lebih banyak digunakan berbanding kaedah simulasi.

ANALISIS KAEDAH PENGAJARAN
                Kaedah praktikal merupakan kaedah penting dalam pengajaran seni kerana dalam pembelajaran seni melibatkan lebih banyak kemahiran dan kreativiti pelajar dalam menghasilkan sesuatu hasil seni. Kaedah simulasi hanya digunakan di awal pembelajaran yang bertujuan sebagai tunjuk cara untuk membeli penjelasan kepada pelajar. Manakala kaedah teori pula hanya mempunyai peratus yang rendah untuk digunakan dalam pengajaran seni kerana ia hanya menerangkan secara umum tentang sesuatu kesenian dan kurang memberi penjelasan kepada pelajar terutamanya melibatkan pelajar di sekolah kebangsaan.

TEKNIK DAN PENDEKATAN
            Melalui penilaian yang dilakukan, pengajaran seni menggunakan teknik pengajaran yang mengaitkan dengan unsur alam sekeliling bilik darjah. Guru menguji pemikiran pelajar dengan warna – warna yang terdapat pada pokok dan tumbuh – tumbuhan. Melalui pemerhatian pelajar terhadap unsur tersebut akan dapat melahirkan kreativiti pelajar dalam mengkaji warna dan ton warna.
Selain itu, guru juga turut memberi contoh seni lain untuk dibandingkan dengan seni warna dan ton warna. Sebagai contoh, seni muzik & bunyi di mana seni tersebut juga dikatakan mempunyai ton tersendiri. Sebagai contoh, guru tersebut bersiul bagi mencetus pemikiran pelajar terhadap kesenian malah guru tersebut turut memasukkan kesenian dengan keislaman melalui pendapat tokoh – tokoh Islam.

ANALISIS TEKNIK & PENDEKATAN
            Penilaian yang dibuat melalui pemerhatian teknik dan pendekatan yang diambil oleh guru tersebut didapati berkesan dalam pengajaran seni. Hal ini dapat dilihat melalui kefahaman pelajar terhadap perkara yang diajar di dalam bilik darjah. Pelajar mula berfikir tentang kombinasi warna tertentu untuk menghasilkan ton warna yang dikehendaki. Sebagai contoh, kombinasi warna biru dan kuning akan menghasilkan warna hijau melalui sukatan – sukatan tertentu. Pelajar juga mampu berfikir di luar kotak dengan teknik yang digunakan oleh guru tersebut berkaitan perkara – perkara yang terdapat di luar dari bilik darjah.

KAWALAN PELAJAR
                Melalui aspek kawalan pelajar, guru sentiasa berjalan dan meminimumkan berada di kerusi sepanjang perjalanan kelas bertujuan untuk menarik perhatian pelajar agar memberi perhatian sepanjang proses pembelajaran berlangsung selain guru mengawal pelajar secara individu dengan menuju ke tempat pelajar tersebut.
Namun demikian, guru juga turut meninggikan suara dan menunjukkan riak muka yang serius sebelum menjelaskan tentang perkara yang diajar sekiranya melihat keadaan bilik darjah  yang terlalu bising dan pelajar mula hilang tumpuan. Selepas pelajar mula kembali memberikan tumpuan, guru meneruskan pembelajaran seperti biasa dengan menimbulkan suasana bilik darjah yang ceria.
Mengikut penjelasan dari guru tersebut, kawalan pelajar jangka panjang adalah penting iaitu dengan menimbulkan minat dan hormat oleh pelajar terhadap seseorang guru walaupun berada di luar bilik darjah.


ANALISIS KAWALAN PELAJAR
            Dalam mengawal pelajar sepanjang pembelajaran dalam bilik darjah, riak muka guru memainkan peranan penting supaya pelajar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap perkara yang diajar disamping menggunakan suara yang tinggi apabila mendapati keadaan bilik darjah  yang hampir tidak terkawal. Hal ini kerana gurun akan dapat menarik perhatian pelajar dan dapat meneruskan pembelajaran tersebut. Penggunaan ucapan yang lembut juga amat sesuai bagi pelajar pada tahap sekolah kebangsaan seperti penggunaan ucapan terhadap anak –anak.
            Melihat kepada teknik kawalan pelajar yang digunakan oleh guru tersebut berkesan apabila pelajar dapat memberi perhatian dengan apa yang dijelaskan oleh guru tersebut. Kata – kata semangat juga turut diperlukan dalam mengawal pelajar sepanjang berada di bilik darjah bertujuan untuk menarik minat pelajar mengikuti sukatan pelajaran yang dijalankan.


PERANCANGAN PENGAJARAN

Mata pelajaran          : Pendidikan seni visual
Kelas                           : 5 inisiatif
Sekolah                       : Sek. Keb. Bangsar, Pantai Dalam Kuala Lumpur
Waktu                         : 9.40 – 10.40 pagi
Tajuk                           : Warna dan ton warna
Objektif                      : Murid mengenali warna dan memahami cara – cara mencampurkan      warna bagi menghasilkan ton warna menaik atau menurun
Kaedah :
                    I.            Pengamatan :
Murid mendapat penerangan berkaitan warna dan guru menunjukkan contoh – contoh warna sambil mengedarkan carta warna sebagai bahan rujukan. Guru juga menunjukkan contoh – contoh lain yang terdapat pada alam semula jadi seperti tumbuh – tumbuhan atau pokok yang terdapat di kawasan sekitar.
  
                  II.            Penerokaan :
 Murid mengkaji bagaimana warna dicampurkan dan menghasilkan warna yang berlainan serta memberi panduan sambil membuat tunjuk cara.

                III.            Aplikasi :
 Murid mencampurkan warna yang diarahkan dan mewarnakan pada kertas lukisan. Guru turut memberi komen dan membetulkan kesalahan sekiranya ada. Guru juga mempamerkan hasil kerja yang terbaik sebagai imbuhan agar pelajar cuba menghasilkan karya sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment